Pages

Kebahagiaan.


"wah bestnya engkau, apa engkau nak semua dapat! engkau nak kereta, engkau dapat, engkau nak itu nak ini, semua dapat. Mesti bahagia kan?," luah si polan kepada si polan.

"alhamdulillah, segalanya dari Allah. mudah mudahan aku termasuk dalam golongan yang sedikit," jawab si polan.

"golongan yang sedikit? golongan apa plak tu?" soalnya.

"Allah berfirman dalam al - Quran, dan sememangnya sedikit sekali di antara hamba-hambaKu yang bersyukur [saba':13], Allah kata sedikit sekali hambaNya yang bersyukur, jadi aku mahu sangat termasuk dalam golongan yang sedikit itu. Then, bukan semua apa yang kita nak dan kita dapat itu akan membuahkan kebahagiaan, tetapi semua yang kita dapat itu sebenarnya adalah suatu bentuk ujian, ujian dari Allah nak lihat adakah hambaNya bersyukur atau tidak. Aku tidak mahu dilimpahkan bermacam jenis nikmat, tetapi semakin galak pula aku melupakan Pemberi Nikmat, naudzubillah," jawab si polan.

***

Bahagia. Manusia sering tersalah tafsir erti bahagia. Dikatakannya kalau dapat itu, kalau dapat ini akan bahagialah dirinya. Sungguh, ketika itu tertipulah dirinya, tertipu dengan dunia. Dunia mirip sekali dengan fatamorgana di padang pasir. Para musafir yang kehausan di padang pasir apabila terlihatnya fatamorgana yang disangkanya air. berkejarlah mereka ke arahnya tetapi apabila sampai dikawasannya, air tiada dan tertipulah mereka dengan fatamorgana terbabit. Pada ketika itu, sesalan akan menghinggap di jiwa mereka kerna setelah penat berkejaran ke arah fatamorgana itu, tiadalah apa hasilnya dan yang dapatinya hanyalah penat. Begitulah dunia.
 
Bahagia itu fitrah?

Iya, bahagia itu fitrah tabie manusia. Rasanya semua orang ingin bahagia bukan? Jika ada manusia yang berkata, alangkah bahagianya kalau aku tidak bahagia, dia layak dihantar ke Hospital Bahagia. Kenapa? Sudah tentu orang itu tidak siuman lagi. Manusia yang siuman pastinya sentiasa ingin dan mencari bahagia. Soalnya, bahagia itu mahu sampai mana? sampai di syurga atau di dunia sahaja? pasti anda mahu kedua - duanya sekaligus kan.

Apa benar orang yang paling bahagia ialah orang yang banyak harta, yang ada kereta yang mewah, yang ada rumah yang besar, megah bak istana dan yang boleh melancong ke mana - mana sahaja? Tidak, tidak sama sekali ! Kebahagiaan itu bukan pada Istana, bukan juga pada harta yang membukit tinggi, bukan juga pada kereta Ferarri, Mercedes ataupun BMW, bukan juga pada pangkat dan nama. Ramai yang merasakan bahawa bahagia itu bersumber dari faktor luaran. Ia bersumber daripada harta, kuasa, rupa, nama dan kelulusan yang dimiliki oleh seseorang. Golongan ini merasakan jika berjaya menjadi hartawan, negarawan, bangsawan dan rupawan maka secara automatik bahagialah mereka. Realitinya jauh sekali daripada sangkaan mereka. Lihat sahaja artis hollywood yang miliki harta berjuta, rupa yang tampan dan jelita, namanya tersohor dan terkenal tetapi pelbagai masalah yang dihadapinya dan konflik yang tiada kesudahan. Hingga ada yang membunuh diri kerana tekanan.

Rasulullah S.A.W bersabda "Bukanlah kekayaan itu dengan banyaknya harta benda tetapi kekayaan itu sebenarnya ialah kaya hati". Kaya hati bermaksud hati yang tenang, lapang dan merasa cukup dengan apa yang dimiliki serta bersyukur dengan apa yang ada, sabar dengan apa yang tiada. SubhanAllah begitu indah definisi kekayaan yang dilontarkan oleh Rasulullah S.A.W. Hari ini, berapa ramai orang yang duduk di rumah mewah tetapi didalamnya tiada kebahagiaan sedangkan ada orang yang hanya duduk di rumah yang kecil dan buruk merasa bahagia dan selesa. Berapa ramai yang ada harta yang banyak, duit yang banyak tetapi masih rasa tidak cukup dengan hartanya dan risau dengan hartanya sedangkan ada orang yang mungkin hidupnya kais pagi makan pagi kais petang makan petang tetapi rasa cukup dengan apa yang ada dan rasa bahagia dengan sedikitnya harta.

Nikmat yang Allah beri, walaupun mungkin sedikit sahaja tetapi jika kita syukuri, kebahagiaan yang akan dikecapi oleh kita berganda - ganda bahagianya. Cuma, kita kena sedar yang sebenarnya banyak sangat nikmat yang Allah berikan kepada kita, kita je yang sedikit sekali mensyukurinya. Jangan kita sempitkan nikmat itu dalam bentuk keduniaan sahaja. Nikmat itu ialah sesuatu yang bermanfaat untuk kita dan sesuatu yang dikatakan bermanfaat untuk kita ialah yang mendekatkan diri kita kepada Allah.

Ada orang gagal dalam examnya, namun dengan kegagalannya itu dia semakin dekat dengan Allah serta mula sedar untuk bangkit dari kegagalan, maka itu satu nikmat untuknya. Ada orang berjaya dengan cemerlang dalam examnya tetapi lupa pada Allah, semakin bongkak dengan manusia, semakin jauh dari Allah, maka ketika itu kecemerlangannya dalam exam bukan suatu nikmat tetapi itulah yang dinamakan istidraj atau ujian yang Allah beri untuk melihat adakah hambaNya bersyukur atau tidak. Ada orang walaupun hartanya cukup makan sahaja tetapi tangannya mudah memberi, ringan menderma, itu nikmat untuknya kerana ada orang semakin berharta dia semakin kedekutlah dia, semakin bakhil lah dia kerana terlalu sayangkan hartanya yang tidak boleh dibawa ke dalam kubur pun. Jadi, begitulah konsep nikmat yang perlu kita fahami. Nikmat dari Allah tak pernah terhenti, meskipun kita kerap kali tidak mensyukuri. Lihatlah betapa pemurahnya Ilahi. Allahurabbi, nikmat Mu yang mana lagi mahu hambaMu ini dustai?


“Siapa yang beramal soleh baik laki-laki ataupun perempuan dalam keadaan ia beriman, maka Kami akan memberikan kepadanya kehidupan yang baik dan Kami akan membalas mereka dengan pahala yang lebih baik daripada apa yang mereka amalkan.” (An-Nahl: 97)

Peringatan bersama. Moga Allah redha.


3 comments:

NoorVictory said...

Bahagia itu akan datang bila kita menerima takdir Allah dengan redha dan sabar. Bahagia itu datang bila kita mula memahami takdir Allah itu tidak kejam, setiap kejadian pasti ada hikmah yang akan menyusuli. Bahagia itu akan datang bila kita meyakini Allah adalah sebaik-baik perancang dan takdir Allah tak pernah silap. ;)

Semoga Allah redha. Semoga Allah menjadikan kita hamba-Nya yang redha. ;)

Nazihah@Jiha said...

Bahagia itu bila kita bertawakal kepada Allah SWT. tiada resah, gundah dan gulana :')

Muhammad Adam bin Roslan said...

terima kasih atas perkongsian ini. sangat memberi erti buat hamba yang mencari-cari

LinkWithin

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...