Pages

Bukalah Kaca Mata Hitam Di Hatimu



بِسْــــــــــــــــــمِ ﷲِ الرَّحْمَنِ ارَّحِيم


 hmm. kalau pakai kaca mata hitam. bunga pink pink yang cantik pun akan nampak gelap je


Sebahagian orang memakai kaca mata hitam ketika melihat segala sesuatu di hadapannya sehingga yang dilihat itu hanyalah kegelapan disebabkan kaca mata hitam yang dipakainya itu. Bilamana dilihatnya matahari, matahari menjadi  gelap, bulan yang bersinar juga menjadi gelap, pakaian yang putih juga menjadi gelap. Semua menjadi gelap walaupun hakikatnya apa yang dilihat itu tidaklah gelap sebenarnya. 

Seperti inilah orang - orang yang memiliki jiwa yang penuh keraguan dan sentiasa berprasangka buruk terhadap orang lain. Orang - orang seperti ini tidak akan melihat sisi positif seseorang dan selalu sahaja buat - buat tidak nampak kebaikan seseorang. Akan tetapi, mereka ini akan sentiasa memperuntukkan masa mereka hanya untuk mencari kesilapan orang lain, kelemahan orang lain dan keburukan orang lain. Mereka ini lebih suka melihat duri - duri yang berada pada sekuntum bunga mawar berbanding melihat pada kecantikan kelopak bunga mawar dan menghidu keharuman bunga mawar tersebut. 

Ramai manusia yang sentiasa suka melihat keburukan orang lain kerana dia tidak melihat keburukan - keburukan yang ada padanya. Dirasakan dirinya sempurna tetapi mereka tidak sedar sikap melihat akan keburukan orang lain dan berprasangka buruk kepada orang lain itu sudah menunjukkan betapa buruknya jiwa mereka. Menghadirkan perasaan "aku lebih baik dari dia" itu saling tidak tumpah perangainya seperti Syaitan yang merasakan dirinya lebih baik dan lebih mulia daripada Nabi Adam a.s yang dicipta dari tanah berbanding dirinya yang diciptakan dari api.

Jika kita tergolong daripada golongan ini, mari kita buka "kaca mata hitam" yang terpakai di dalam jiwa kita dan kita gantikan ia dengan "kaca mata biasa" yang ditambah powernya dengan keimanan dan kasih sayang agar mampu membuatkan jiwa kita sentiasa melihat kepada keindahan, bukannya kegelapan dan keburukan. Alangkah baiknya andai jiwa kita ini begitu senang melihat sisi positif pada seseorang berbanding sisi negatif seseorang. Itulah jiwa mukmin sejati, yang sentiasa memandang saudaranya dengan pandangan kasih sayang, bukan padangan kebencian dan keirihatian. 

Mari kita contohi bagaimana akhlak Rasulullah saw, walaupun Rasulullah saw itu insan yang mulia, kekasih Allah, maksum dan terjamin syurga buatnya tetapi begitu rendah hatinya, begitu tawaduk dan sentiasa berkasih sayang. Jika ingin dikira segala amal, pengorbanan dan jasa Rasulullah saw pasti tidak akan terkira. Amat berbeza dengan diri kita, kita kadang - kadang bila selalu meluangkan sedikit masa sahaja untuk menghadiri kuliah agama contohnya kita akan mula memandang rendah pada orang - orang yang tidak menghadiri kuliah agama, bila kita rajin pergi masjid, kita mula rasa diri kita lebih mulia daripada orang - orang yang tidak pergi masjid. Mulalah dalam diri kita, dalam jiwa kita memandang mereka dengan padangan hina bukan kasih sayang. nauzubillah~

Astaghfirullahalazim.

Pandang dalam - dalam diri kita, jangan dicari kebaikan yang ada dalam diri kita, carilah segala kekurangan kita, kemiskinan akhlak kita sebelum kita mahu mencari kekurangan orang lain. Bila kita hanya sibuk mencari dan memikirkan kesalahan orang lain, masa bila pula kita nak tengok kesalahan diri kita? errr, dah "baik" sangatkah diri kita?

"Wahai orang-orang yang beriman! Jauhilah kebanyakan dari sangkaan (supaya kamu tidak tergelincir ke dalam sangkaan yang dilarang) kerana sesungguhnya sebahagian dari sangkaan itu adalah dosa..." [Surah al-Hujurat :12]

Tulisan ini untuk memperingatkan diri penulis yang selalu sahaja lalai ini terutamanya dan buat para pembaca yang berhati mulia. moga Allah redha.

No comments:

LinkWithin

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...