Pages

Duduk Diam Bukan Pilihan.

بِسْــــــــــــــــــمِ ﷲِ الرَّحْمَنِ ارَّحِيم



Kehidupan kita ini ibarat sebuah pendakian. Amat berbeza orang yang cuba untuk mendaki ke puncak yang tinggi dengan orang yang hanya duduk di atas tanah sambil mencungkil gigi dengan senang hati tidak mahu mendaki.

Kita cuba untuk mendaki, kita cuba mendaki sehingga ke puncak, puncaknya redha Ilahi. Dengan semangat yang kuat kita mendaki dan terus mendaki sehingga kelelahan itu menyergah di jiwa dan jasad kita.

Lelah, namun perjalanan masih jauh...Sedangkan orang duduk mencungkil gigi itu masih senang hati. kelelahan tidak menyertainya, hanya kesenangan yang sedang dinikmatinya. Benar, perjalanan ini memerlukan kudrat yang sesungguhnya, segala masa, fikiran dan jiwa kita perlu ditumpukan untuknya. Meredah perjalanan ini tanpa cahaya ibarat si buta yang berjalan tanpa tongkatnya. Namun yang lebih malang ketika tongkat dihulur, kita tepis ke tepi. kita seolah - seolah si buta yang sengaja menepis tongkat yang diberi kerana tidak mahu dilihat lemah, kita ego!

Mendaki dan terjatuh.

Ada masa, ada ketika, sedang asyik kita mendaki, kita terjatuh. Malah adakalanya kita terus terjurumus ke lembah yang dalam. Gelap tanpa cahaya. Waktu itu baru kita sedar cahaya itu penting, baru kita sedar fungsi cahaya itu, baru kita sedar tanpa cahaya segala marabahaya yang datang tidak mampu kita kesan, baru kita sedar diri kita ini lemah. Di situlah Allah dengan kasih sayangnya mahu memperlihatkan kepada kita betapa pentingnya cahaya itu. Allah mahu kita jaga dengan erat dan kemas cahaya itu. Allah mahu tarbiyah diri kita.

Tali Allah adalah penyelamat. ketika kita jatuh ke lembah jahiliyyah, pastikan pegang erat pada tali Allah, jangan kita berpaut pada tali yang rapuh dan tali yang tidak mampu membawa kita kepada redha Allah. Lembah jahiliah itu memang sukar untuk ditinggalkan. Tanpa bekalan keimanan yang kukuh, tanpa hubungan hati dengan Allah yang ampuh, diri kita pasti akan tergelincir kembali jatuh ke dalamnya biarpun sudah berkali-kali cubaan pendakian menuju Pencipta. Namun, cuba kita kira berapa kali kita jatuh dan barapa kali Allah dengan kasih sayangNya masih sudi membantu kita keluar dari lubang jahiliyyah itu.

Bagi mereka - mereka yang tidak mahu mendaki dan mahu duduk diam sahaja. Mereka tidak akan pernah jatuh mereka juga tidak akan pernah ke mana - mana. Mereka akan terus dilenakan nikmat kesenangan. Kesenangan yang sebentar cuma. Sedarlah, Allah tidak mencipta kita hanya untuk bersenang lenang duduk diam sahaja. Kita semua ini ada fungsinya untuk Islam. Kita bukanlah makhluk yang sia - sia. Kita adalah khalifah di muka bumi ini. Tidak mungkin khalifah hanya tahu duduk diam mencungkil gigi sahaja. Hayatilah firman Allah ini :

"Maka adakah patut kamu menyangka bahawa Kami hanya menciptakan kamu (dari tiada kepada ada) sahaja dengan tiada sebarang hikmat pada ciptaan itu? Dan kamu (menyangka pula) tidak akan dikembalikan kepada Kami? Maka (dengan yang demikian) Maha Tinggilah Allah Yang Menguasai seluruh alam." (Al-Mukminun: 115-116)


Kamu yang sedang mendaki, biar kita lelah untuk mencapai redha Allah daripada kita termasuk dalam golongan yang tidak lelah mengikut telunjuk syaitan dan hawa nafsunya.. Hidup kita ini tiada maknanya jika jauh daripada redha Allah. Ada wang berjuta, rupa yang segak dan cantik, pangkat yang besar tetapi langsung tidak bergerak menggunakan nikmat - nikmat yang Allah beri itu untuk mencapai redha Allah adalah suatu bentuk pembaziran yang nyata. Ketika ramai orang berpenat mencari keuntungan di dunia, moga kita tergolong dikalangan orang yang berlumba - lumba mencari kesenangan di akhirat sana.

"Sesungguhnya Allah telah membeli dari orang-orang yang beriman akan jiwa mereka dan harta benda mereka dengan (balasan) bahawa mereka akan beroleh Syurga." (Al-Taubah: 111) 

Sahabat, pendakian masih perlu diteruskan. Puncaknya masih jauh... Mendakilah dan teruskanlah menyebar cahaya buat ummah. Tetap terus mendaki ke puncak sana!  Moga Allah izin kita semua bertemu di sana..


"orang yang hanya duduk diam di atas tanah memang tidak akan pernah jatuh dan dia juga tidak akan kemana - mana" - Dr Aidh al Qarni.

2 comments:

aku-bukan-robot said...

Fuhh. Yupz sungguhlah menjadi manusia yang stay diam diam kita takkan jatuh tapi takkan sampaii ke destinasi . Sigh maka lebih baik menjadi manusia yang berlari walau tersungkur berkali etlist belajar dan bidznillah tetap sampai destinasi

Nazihah@Jiha said...

kekuatan x dtg dr kemampuan fizikal, ttpi ianya dr semangat yg x pernah mengalah :)

jatuh bangun semula!

LinkWithin

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...