Pages

Rabun



Aku ini, rabun jauh. Bicara soal rabun, bagi aku, rabun itu biasa, tidak penting. Asal masih boleh lihat, zaman sudah canggih, syukur sahaja.

Ada rabun, yang paling aku takuti. 

Apa itu?
Rabun akhirat.

Aku takut, hati aku rabun jauh juga. Aku hanya nampak yang dekat. Dan.. yang jauh itu kabur. Dekat itu dunia, jauh itu akhirat. Aku takut, hati aku nampak dunia sahaja akan tetapi akhirat tidak kelihatan.

Aku ingat lagi,
Guruku pernah berpesan.

"Kamu mesti berpandangan jauh, jauh itu biar sampai akhirat, jika jauh hanya setakat di dunia, maka itu belum cukup jauh, itu masih jauh daripada jauh"

Aku juga takut, hati aku rabun dekat. Tidak nampak dunia ini jambatan untuk ke akhirat. Sesetengah orang menganggap dunia ini sampah, tiada guna, lalu ia buang jauh - jauh. 

Lalu dijadikanlah ia alasan untuk kita mundur, tidak maju kehadapan kerana dunia itu tidak penting katanya, menolak teknologi, menolak untuk keperluan mencari harta, menolak kemajuan atas slogan " itu hanya dunia!"

Tidaklah Allah menjadikan sesuatu itu sia - sia. Dunia ini tempat bagi  dieksploitasikan untuk akhirat. Harta yang dicari untuk diderma dan dimanfaatkan, ilmu yang ditambah untuk dikongsi, teknologi dicipta untuk memudahkan kehidupan. 

Alangkah bahagia jika hati celik, tidak rabun jauh dan dekat. Dan.. tulisan ini hanya untuk mengingatkan diri yang selalu lupa ini. Budak kecil yang baru nak cukup umurnya 24 beberapa hari lagi. Yang selalu buat salah dan silap. 

Mohon maaf atas salah dan silap. Moga hati kita sentiasa celik. Nampak dunia dan nampak akhirat. Insya-Allah. Amiin.

Senyum. :)

Moga Allah redha.



No comments:

LinkWithin

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...